Acuan Memajukan Bangsa dan Negara

Salam hormat buat semua sahabat, di hari yang indah ini ingin aku kongsikan secebis pendapat yang bermain-main di fikiran; jika tersalah mohonlah diampunkan. Topiknya ialah mengenai “Acuan untuk Memajukan Bangsa dan Negara”. Masih lagi teringat kata-kata Bapa pembangunan Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai Wawasan 2020 (Malaysia sebuah negara maju menjelang  2020) dengan acuan sendiri. Maksudnya di sini negara kita bakal menjadi negara maju dengan menggunakan formula, kaedah dan cara yang tersendiri. Sebagai seorang rakyat yang setia dan berbangga dengan pencapaian Malaysia hari ini, rasanya tidak menjadi kesalahan untuk kita membincangkan hala tuju negara kita ini. Jika dibandingkan dengan negara-negara membangun lain di dunia ini, Malaysia dilihat sebuah negara yang sangat aktif dan gigih berusaha demi mencapai hasrat yang terkandung di dalam misi Wawasan 2020. Tidak menjadi mustahil untuk kita mencapai matlamat tersebut apabila pelaburan asing sentiaa meningkat dari semasa ke semasa, peningkatan kadar pendapatan negara (KDNK), dan nikmat keamanan yang dikecapi tiada penghujungnya. Pada masa syarikat-syarikat gergasi asing datang bertapak di Malaysia, jenama negara juga semakin mendapat sambutan di mata dunia. Ini membuktikan bahawa Malaysia berhasil memperoleh kesan baik dari dasar-dasar yang diperkenalkan di dalam dekad yang lepas.

Kemajuan Malaysia sememnagnya mesti dibanggakan oleh setiap lapisan masyarakat yang bergelar “Rakyat Malaysia” apabila kita adalah antara negara yang terkedepan sama ada di peringkat Asia Tenggara mahupun di Asia. Kita dilihat gah apabila terbinanya mercu tanda negara (Menara Berkembar Petronas), menara telekomunikasi tertinggi (menara KL), litar lumba di Sepang, lapangan terbang yang serba canggih (KLIA), pusat pentadbiran kerajaan yang tersusun (W.P. Putrajaya), dan banyak lagi prasarana hebat lain. Namun di sini kita masih boleh persoalkan bagaimanakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan pembangunan yang diasaskan oleh acuan tersendiri. Masih lagi betah jika kita bandingkan dengan beberapa negara yang telah maju dan pada masa yang sama identiti asli mereka kekal tanpa terusik. Mengambil contoh negara-negara maju dan kuasa besar seperti Jepun, Korea Selatan, German, Russia dan China; mereka amat berbangga dengan kemajuan teknologi yang mereka miliki dan mereka juga berbagga dengan bahasa dan budaya mereka. Negara-negara ini kelihatan amat dominan menggunakan bahasa sendiri di dalam semua aspek urusan negara. Perdana Menteri Jepun menggunakan bahasa rasmi negara mereka untuk mengumumkan keadaan bencana Tsunami awal 2011 kepada dunia. Pelajar yang berhajat menyambung pelajaran di negara mereka perlu lulus ujian persediaan yang merangkumi bahasa, sejarah, adat dan kesenian negara tersebut terlebih dahulu. Ini menunjukkan kecintaan mereka kepada jati diri yang hanya dimiliki oleh bangsa mereka sahaja, namun Bahasa Antarabangsa (Bahasa Inggeris) tetap ditekankan.

Kondisi berlainan dirasai di negara kita apabila Bahasa Inggeris (BI) dilihat sebagai bahasa yang sangat penting melebihi Bahasa Malaysia (BM). Semua penduduk mahu ataupun tidak mesti menguasai dan memahami BI demi memajukan diri dan pergi jauh di dalam kerjaya. Hal ini dilihat memberi peluang kepada sesetengah golongan sahaja, sesetengah yang lain terus tersekat. Bangsa Melayu yang juga bangsa majoriti di negara ini adalah sebuah bangsa yang dilihat masih ramai dan agak sukar menguasai BI. Ramai di kalangan anak muda mereka yang berhasil melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat Ijazah Pertama tetapi tidak dapat pergi lebih jauh apabila bekerjaya walaupun memiliki buah fikiran yang bagus. Setelah bergraduat, mereka agak sukar mendapat pekerjaan dek kerana sektor awam yang menghadkan pengambilan kakitangan baru dan memperkenalkan pakej persaraan sehingga ke 58 tahun. Begitu juga di sektor swasta yang rata-rata dimonopoli bangsa lain dan terlalu tinggi prasyaratnya. Terpaksalah mereka mengikuti kursus jangka pendek untuk graduan yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat GLC demi untuk meningkatkan potensi diri dan seterusnya membolehkan mereka untuk mendapat jawatan sementara di GLC tersebut tanpa jaminan untuk diserap tetap. Sungguhpun ada yang diserap ke jawatan tetap, bilangan mereka tidaklah banyak. Akhirnya bangsa ini dianggap pemalas, mudah lupa dan tidak suka mengambil peluang untuk memajukan diri bersama-sama bangsa lain; sedangkan perkara sebenar adalah sebaliknya. Pemerintah perlu meneliti kelemahan mereka sebelum memberi bantuan. Peluang yang seluas-luasnya harus diberi kepada generasi muda tempatan untuk melangkah lebih jauh dan mencapai tahap profesional. Akhir-akhir ini, golongan profesional yang ada di negara ini dilihat sangat ramai yang berasal dari negara luar, mereka cenderung berhijrah ke sini kerana dasar bebas dan peluang yang sangat luas untuk masyarakat global bertapak di sini. Secara tidak langsung merekalah yang menyumbang tenaga memajukan negara ini sementara masyarakat tempatan masih lagi ramai menjawat jawatan sokongan dan tinggal di kampung sebagai pekebun atau petani. Tidakkah kita terfikir akan kesannya kelak? Sepatutnya negara ini dibangunkan oleh masyarakat kita sendiri sama ada Melayu, Cina, India mahupun Masyarakat Pribumi dan  Bumiputra (Sabah dan Sarawak).

Warga negara luar yang berhijrah ke negara kita juga dilihat bebas dan tidak perlu membuat prsediaan awal berkaitan dengan BM, mereka bebas menggunakan BI. Seupamanya pelajar-pelajar asing yang mendaftar di universiti tempatan, mereka  tidak perlu mengikuti kursus persediaan berkaitan sejarah, budaya dan keseniaan Malaysia ataupun menduduki ujian BM sebelum meneruskan hasrat melanjutkan pengajian ke negara ini. Malah hal yang sebaliknya berlaku apabila pelajar-pelajar tempatan pula yang perlu memperkasakan BI untuk berkomunikasi dengan mereka. Jika perkara ini berterusan, BM tidak boleh dijadikan sebagai bahasa ilmu ataupun medium penyampai ilmu. Tidak hairanlah apabila ada segelintir masyarakat Malaysia sendiri merasa bodoh menggunakan BM (“I feel stupid when I speak in Malay”), ada juga yang tidak betah berbahasa BM dengan lancar, ada yang menggunakan bahasa ibunda masing-masing sebagai bahasa utama mereka walaupun mengaku sebagai rakyat Malaysia. Tidak juga dinafikan bahawa “bahasa rojak” semakin lama semakin luas digunakan. Di mana letaknya kredibiliti BM jika masyarakat kita sndiri tidak mahu menggunakannya. Perlukah kita mengharapkan orang luar dari Malaysia membangunkan BM?

Kita perlu sedar bahawa BM hanya ada di Malaysia sahaja dan sudah menjadi tanggung jawab kita untuk menggunakan bahasa ini secara keseluruhan. BM adalah hak mutlak Malaysia dan sewajarnya rakyat yang bersatu di bawah Gagasan 1 Malaysia menjunjung bahasa ini sebagai bahasa yang utama. Kita seharusnya berusaha membuktikan BM adalah bahasa yang setanding dengan bahasa-bahasa lain di dunia ini dan Malaysia boleh mencapai Wawasan 2020 walaupun berbahasa BM. Berjayakah Gagasan 1 Malaysia jika semua rakyat masih lagi berpecah dari segi bahasa? Masyarakat Melayu dengan BM, Cina dengan Bahasa Cina (BC), dan India dengan Bahasa Tamil (BT). Tidak wajar jika kita menggunakan BI sebagai wadah penyatuan bangsa-bangsa ini kerana BI adalah bahasa anatarabangsa yang menjadi alat komunikasi dunia dan tidak menggambarkan identiti kita. Penyelesaian kepada isu ini, saya merasakan sudah sampai masanya untuk negara ini melaksanakan langkah perlu terutamanya menyelaras semula sistem pendidikan negara supaya tidak lagi berkonsepkan 3 aliran seperti yang ada sekarang. Kita perlu ada sebuah sistem pendidikan yang satu, berpandukan identiti Malaysia dan secara jelasnya akan menggambarkan Malaysia sebagai sebuah negara yang memiliki jati diri. Sistem ini mestilah menekankan BM sebagai bahasa utama dan menerapkan kurikulum yang sama di semua sekolah dalam usaha mengahsilkan modal insan yang sama dan serupa, tiada lagi perbezaan dan kelebihan untuk mana-mana golongan. BI diterapkan sebagai bahasa komunikasi dunia. Usaha ini bukan bertujuan membentuk sebuah negara bangsa tetapi membentuk masyarakat yang memiliki fahaman yang sama. Kempen-kempen menggalakkan penggunaan BM seperti yang ada sekarang; kempen Gunalah Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Jiwa Bangsa perlu diubah dan diselaras dengan usaha yang lebih berani dan memberi kesan kepada semua.

Sekadar itu sahaja garapan yang ingin dikongsikan. Kami selaku generasi muda negara ini berharap boleh melihat negara ini maju tanpa melenyapkan apa yang menjadi identiti bangsa kita. Sekian, wallahua’lam.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s